Thursday, April 7, 2011

Pengukuran

Setelah habis belajar, banyak ilmu yang ingin di kongsi bersama... terutamanya ilmu tentang pengukuran.


Sebagai pendidik, kita sentiasa terlibat dalam membuat pengukuran. Tetapi pengukuran yang dilakukan bukanlah pengukuran yang melibatkan fizikal seperti mengukur panjang, jarak dan berat. Pengukuran yang kita lakukan adalah lebih kepada perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti ukuran pencapaian pelajar dalam matapelajaran yang diajar.


Walaupun kaedah pengukuran yang digunakan sekarang ini dianggap valid dan reliable sejak ratusan tahun lagi, pernah tak kita mendengar pelajar mengadu, yang markahnya rendah kerana guru yang memberi markah adalah guru yang terlalu tegas (severe) dan markah rakannya lebih tinggi kerana markah rakannya ditanda oleh guru yang pemurah (lenient)? Lebih-lebih lagi bagi ujian atau peperiksaan yang melibatkan pemarkahan yang subjektif seperti pemarkahan bagi kertas karangan ataupun esei.

Dalam proses pentaksiran (assessment), biasanya terdapat beberapa aspek utama yang perlu dilihat dan di ambilkira. Antara aspek yang penting adalah aspek pelajar, item (soalan ujian) dan juga aspek pentaksir (guru).

Pengukuran dan penilaian yang berlaku di sekolah-sekolah biasanya hanya melihat dari aspek pelajar sahaja.

Seronok juga semasa pergi mendapatkan "report card" anak-anak di sekolah sambil mendengar komen guru. Sekiranya anak anda mendapat markah katakan "85%" dengan gred A, pasti guru akan mengatakan anak anda sebagai "bagus" dan sekiranya beliau mendapat markah katakan "56%" dengan gred D pasti komen yang diberikan adalah sebaliknya. Bagaimana pula sekiranya markah 85% dengan gred A itu adalah merupakan markah terendah di dalam kelas tersebut? Bagaimana pula jika soalan yang diberikan pula adalah terlalu mudah? Bagaimana pula sekiranya markah 56% itu adalah markah tertinggi di dalam kelas dan bagaimana pula sekiranya soalan yang diberi adalah sukar belaka? Bolehkah kita katakan markah 85% itu sebagai bagus dan 56% itu sebagai tidak bagus?

Itu antara isu biasa yang berlaku dalam pengukuran pendidikan.

Bagaimana pula dengan pelajar yang mendapat markah yang tinggi dengan hanya meneka sahaja jawapan yang diberi (bagi soalan objektif). Dan bagaimana pula dengan pelajar yang melakukan kecuaian dalam menjawab sedangkan mereka sebenarnya tahu dan memahami akan apa yang telah dipelajari. Wajarkah kita mengatakan mereka berkebolehan dalam sesuatu matapelajaran apabila markah yang diperolehi adalah hasil dari tekaan semata-mata. Wajarkah kita mengatakan mereka tidak berkebolehan dalam sesuatu matapelajaran itu kerana berlaku kecuaian (careless mistake) semasa ujian atau peperiksaan?

Isu-isu yang dibangkitkan hanya sekadar untuk difikirkan.

Penulis hanya ingin memperkenalkan konsep pengukuran moden, sekurang-kurangnya sebagai pengetahuan.

Akan bersambung lagi dengan konsep pengukuran moden.

"If you can't measure it, you can't improve it" ~ Lord Kelvin




Wednesday, April 6, 2011

Kajian Tindakan (Siri 1)

Bagi kebanyakkan guru-guru di sekolah atau institusi pengajian, apabila mendapat tahu pelajar lemah dalam sesuatu matapelajaran ataupun bagi sesuatu tajuk, guru-guru berusaha untuk mengadakan pelbagai tindakan atau perancangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh pelajar. Namun begitu, ramai guru yang tidak tahu sama ada tindakan yang mereka lakukan memberikan kesan yang terbaik untuk pelajar atau tidak.


Ada tindakan yang di ambil oleh para guru telah meberi kesan yang sangat baik kepada pelajar tetapi tidak ada bukti untuk dijadikan panduan kepada pihak guru yang lain bagi perkongsian bersama. Ada juga yang masih mengulangi tindakan yang sama walaupun tindakan yang diambil tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya.


Segala tindakan guru ini, sekiranya dirancang dengan baik diikuti pula dengan pemerhatian dan kutipan data yang bersesuaian, akan menghasilkan kajian tindakan yang dapat dijadikan panduan dan disebarkan kepada guru-guru yang lain. Dan sekiranya tindakan tersebut tidak menghasilkan dapatan yang diharapkan, guru boleh melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dan berterusan.


Semasa saya menjadi guru dan juga penyelia petang di sekolah, saya tidak tahu apa itu kajian tindakan. Pernah dengar aje. Saya banyak melaksanakan tindakan untuk meningkatkan pencapaian pelajar. Saya selalu berfikir, alangkah baiknya jika semasa saya mengajar di sekolah, saya tahu menjalankan kajian tindakan, agar tindakan yang dilakukan dapat dikongsi dengan guru lain.


Saya rasa agak bertuah apabila saya bertukar ke kolej persediaan pelajar ke universiti kerana disini banyak ilmu tentang kajian yang saya peroleh, ditambah lagi dengan ilmu yang diperolehi semasa menyambungkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu saya mengambil peluang untuk berkongsi pengetahuan dengan sesiapa sahaja yang ingin menjalankan kajian tindakan.


Apa itu kajian tindakan?


Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh pakar-pakar kajian tindakan seperti McNiff (1988, Kemmis dan McTaggart (1988), Cohen dan Manion (1994), Bassey (1998), Hopkins (1998) dan Koshy (2005). Hasil dari pandangan pakar-pakar tersebut, dapat disimpulkan bahawa, kajian tindakan adalah kajian yang mempunyai ciri-ciri unik iaitu ianya mestilah menuju kearah kefahaman yang lebih baik, refleksi kendiri, penambahbaikan, penyelesaian masalah, proses langkah demi langkah dan membuat modifikasi.


Ciri-ciri kajian tindakan hasil pembacaan saya terhadap definisi kajian tindakan tadi adalah



  1. kajian tindakan adalah satu pendekatan bagi menambah baik pendidikan dengan cara melakukan perubahan dan mempelajari akibat dari perubahan tersebut;

  2. kajian tindakan adalah bersifat penglibatan iaitu pengkaji sendiri berusaha ke arah memperbaiki amalan mereka sendiri;
  3. kajian tindakan dilakukan melalui kitaran refleksi kendiri iaitu suatu kitaran gelungan yang terdiri daripada merancang, melaksana, menilai, merefleksi dan seterusnya merancang sekali lagi, melaksana, menilai dan merefleksi;

  4. kajian tindakan dilakukan secara kolabratif;

  5. kajian tindakan melibatkan aktiviti menyimpan rekod, mengumpul dan menganalisis pertimbangan, reaksi dan tanggapan kita sendiri terhadap apa yang berlaku;

  6. kajian tindakan melibatkan penggunaan jurnal peribadi;

  7. kajian tindakan melibatkan penyelidik membuat analisis kritikal terhadap situasi mereka bekerja;

  8. kajian tindakan dimulakan secara kecil ke arah perubahan yang lebih besar.

Saya pernah menulis bagaimana kajian tindakan dapat meningkatkan pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkualiti. Mungkin boleh dikongsi di lain kali.


Bagaimana untuk melakukan kajian tindakan juga saya akan kongsi di siri kedua


Sekian..


Monday, April 4, 2011

Pengajaran Berkualiti (Siri 1)

Pernah tak dengar anak kita mengadu yang gurunya hanya masuk dan marah-marah tanpa mengajar setiap hari. Atau pun gurunya tidak tahu menerangkan sesuatu konsep tetapi apabila ditanya oleh pelajar, mereka marah. Walaupun bilangan guru begini tidak ramai, bagi saya ianya tidak patut berlaku sama sekali. Sanggupkah kita menggadai masa setahun anak kita di sekolah untuk belajar di bawah guru yang sebegini?

Hmmmm..... Saya juga seorang guru... Saya terfikir akan pengajaran yang berkualiti. Walaupun semua guru yang berkelayakan telah melalui kursus yang sepatutnya sebelum mereka mula mengajar, tetapi sejauhmanakah mereka mempraktikkan akan apa yang dipelajari?

Ingatkah guru-guru akan semua kaedah pengajaran yang sesuai untuk pelajar? Atau ingatkah mereka akan segala teori pembelajaran yang telah dipelajari. Atau mereka setakat tahu tapi tidak mempraktikkannya?

Saya tidak bercadang untuk membincangkan akan teori atau kaedah pengajaran dan pembelajaran di sini, tapi saya lebih berminat akan pengajaran yang berkualiti. Mungkin elok dilihat akan maksud pengajaran berkualiti dari beberapa pakar pendidikan.

Menurut Vygotsky (1962), "The only good teaching is that which outpaces development". Ini bermaksud bahawa pengajaran yang baik adalah pengajaran yang sentiasa berkembang dan membawa kemajuan bukan sahaja kepada individu malah kepada negara.

Menurut Leach (2006), dalam buku "How to be a successful secondary teacher", seorang guru yang berkualiti adalah

  1. seorang yang terurus, sentiasa membuat persediaan dan terkawal sepanjang masa

  2. memahami keperluan untuk sentiasa membuat refleksi dan kajian untuk penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran

  3. memahami keperluan pedagogi untuk menghasilkan pengajaran yang cemerlang

  4. menjadikan pengajaran sesuatu yang mencabar dan menyumbang kepada perkembangan pelajar

  5. mengurus pelajar secara positif dan profesional agar pembelajaran berjalan lancar, bermakna dan berfokus kepada pelajar

  6. membolehkan pelajar melakukan yang terbaik atau lebih dari apa yang diramalkan di dalam ujian atau peperiksaan

Elliot et al. (2000) menyatakan bahawa dalam pengajaran yang berkualiti, guru perlu melaksanakan pengajaran pada tahap pengetahuan pelajar dan juga mengikut perkembangan pelajar, memotivasikan pelajar untuk belajar, mengawal kelakuan pelajar serta menguji dan menilai pelajar.


Slavin (1991), pengajaran dan pembelajaran berkualti berlaku apabila maklumat yang disampaikan memberi makna kepada pelajar, menarik dan mudah untuk difahami dan diaplikasikan.


Lieberman (1995) pula menyatakan bahawa pendidikan yang berjaya memerlukan guru yang bersedia untuk berbincang, berfikir, mencuba dan menerokai amalan-amalan baharu.


Borich (1992), mendapati ciri-ciri guru yang berkesan adalah guru yang mengajar dengan jelas, memperlbagaikan kaedah pengajaran, mengurus masa dengan baik, memastikan pelajar mendapat kejayaan dan membuat refleksi terhadap pengajaran dan pembelajaran,


Disini, saya rumuskan bahawa, pengajaran yang berkualiti adalah



  1. pembelajaran yang berkesan iaitu dari segi perancangan, pedagogi, penilaian dan kawalan mutu

  2. yang memberi makna kepada pelajar dan menyeronokkan

  3. berupaya mengembang daya intelek dan personaliti pelajar secara positif

  4. menitikberatkan penambahbaikan secara berterusan menerusi refleksi, kajian tindakan dan perbincangan

  5. berorientasikan pelanggan (pelajar) dan memenuhi keperluan pelajar seperti minat, kemampuan dan masa depan pelajar.

Ok.. Sedang cuba refleksi diri sekarang ini. Adakah saya telah mencapai ke tahap pengajaran berkualiti?


Jika anda seorang guru, cuba fikirkan...

Sunday, March 27, 2011

Pelajar lelaki dan pelajar perempuan (siri1)

Kenapa agaknya sekarang ini pelajar perempuan lebih berjaya dari pelajar lelaki? Bila tengok tingkahlaku yang pelajar tunjukkan, kebanyakkan pelajar lelaki (bukan semua) selalu ponteng, tak siapkan tutorial, tak datang kuiz, panggil.. telefon dan macam-macam lagi... datang sekejap, kemudian tak datang balik.

Bilangan pelajar lelaki di peringkat pra-universiti, apatah lagi di Institusi Pengajian Tinggi sangatlah berkurangan. Saya tak ada statistik di Malaysia, tapi tanpa statistik pun, dari bilangan mata kasar dapat dilihat bahawa lebih ramai perempuan dari lelaki disana.

Apabila saya cuba mencari jawapannya... Dari pembacaan, saya dapati perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara maju yang lain seperti Australia dan Amerika Syarikat, malahan hampir di seluruh dunia!

Saya terjumpa buku: "Boys Adrift: The five factors driving the growing epidemic of unmotivated boys and underachieving youngmen" oleh Dr Leonard Sax. Buku ini sangat menarik dan elok dibaca oleh guru dan ibubapa yang mempunyai anak lelaki. Belum beli lagi, cuma baca sinopsis dan bab yang boleh dibaca secara percuma dari google. (kena beli la)

Dr Leonard (2009) menyatakan bahawa sekiranya dilihat terhadap apa yang berlaku kepada pelajar lelaki sekarang ini, ianya agak menakutkan. Dari pelajar tadika sehinggalah kepada pelajar kolej, secara umumnya, pelajar lelaki di Amerika, kurang daya tahan, kurang bercita-cita tinggi berbanding dengan 20 tahun yang lepas. Saya rasa pelajar lelaki di Malaysia pun hampir sama sahaja.

Saya akan cuba beli buku Dr Leonard ni online nanti. Sebab Dr Leonard ada memberi 5 faktor penyebab dan cara mengatasinya. Menurut Dr Leonard, lima faktor yang menyebabkan terjadinya perkara begini adalah kerana:

  1. Video game: kajian menunjukkan bahawa kebanyakkan video game yang popular telah memisahkan pelajar lelaki dari kehidupan dunia sebenar

  2. Kaedah pengajaran: perubahan cara anak-anak dididik telah memberi kesan yang tidak disengajakan terhadap anak-anak lelaki di sekolah

  3. Ubat: penggunaan ubat berlebihan untuk ADHD mungkin menyebabkan "irreversible damage" terhadap pusat motivasi dalam otak anak lelaki

  4. Gangguan endokrin: estrogen alam sekitar dari botol plastik dan sumber makanan boleh merendahkan tahap testosteron budak lelaki, membuatkan tulang-tulang mereka semaikin rapuh dan memusnahkan sistem endokrin mereka.

  5. Penurunan nilai kelakian: anjakan dalam budaya popular telah mengubah peranan model kelakian. 40 tahun lepas, "Father knows Best" tetapi kini "The Simpsons".

Saya juga rasa pendapat yang diberi oleh Tun Dr Mahathir dari bukunya yang terbaru sangat menarik. (sedang baca setiap hari sebelum tidur) Semalam saya terbaca di mukasurat 76, Tun mengatakan bahawa beliau percaya seseorang itu boleh melakukan apa sahaja sekiranya mereka berdisiplin dalam melaksanakan tugas tersebut. Menurut beliau "discipline means controlling or overcome one's base desire = like cheating, for example, or being lazy - so that the proper results or objectives may be achieved". Menurut Tun lagi, disiplin memainkan peranan besar dalam kehidupan beliau dan menyumbang terhadap segala kejayaan yang beliau kecapi.



Saya ada menemuduga beberapa pelajar lelaki dan hasil yang diperolehi dapat saya simpulkan mereka tidak berdisiplin berbanding pelajar perempuan. Mereka tahu dan sedar akan kelas yang perlu dihadiri, tetapi tidur nampaknya lebih menarik. Banyak lagi faktor yang boleh dilihat seperti motivasi, faktor guru lelaki dan perempuan, sikap pelajar, sikap ibubapa dan sebagainya.

Saya akan menulis lagi mengenai perkara ini.

Anda ada sebarang pendapat?