Thursday, April 7, 2011

Pengukuran

Setelah habis belajar, banyak ilmu yang ingin di kongsi bersama... terutamanya ilmu tentang pengukuran.


Sebagai pendidik, kita sentiasa terlibat dalam membuat pengukuran. Tetapi pengukuran yang dilakukan bukanlah pengukuran yang melibatkan fizikal seperti mengukur panjang, jarak dan berat. Pengukuran yang kita lakukan adalah lebih kepada perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar seperti ukuran pencapaian pelajar dalam matapelajaran yang diajar.


Walaupun kaedah pengukuran yang digunakan sekarang ini dianggap valid dan reliable sejak ratusan tahun lagi, pernah tak kita mendengar pelajar mengadu, yang markahnya rendah kerana guru yang memberi markah adalah guru yang terlalu tegas (severe) dan markah rakannya lebih tinggi kerana markah rakannya ditanda oleh guru yang pemurah (lenient)? Lebih-lebih lagi bagi ujian atau peperiksaan yang melibatkan pemarkahan yang subjektif seperti pemarkahan bagi kertas karangan ataupun esei.

Dalam proses pentaksiran (assessment), biasanya terdapat beberapa aspek utama yang perlu dilihat dan di ambilkira. Antara aspek yang penting adalah aspek pelajar, item (soalan ujian) dan juga aspek pentaksir (guru).

Pengukuran dan penilaian yang berlaku di sekolah-sekolah biasanya hanya melihat dari aspek pelajar sahaja.

Seronok juga semasa pergi mendapatkan "report card" anak-anak di sekolah sambil mendengar komen guru. Sekiranya anak anda mendapat markah katakan "85%" dengan gred A, pasti guru akan mengatakan anak anda sebagai "bagus" dan sekiranya beliau mendapat markah katakan "56%" dengan gred D pasti komen yang diberikan adalah sebaliknya. Bagaimana pula sekiranya markah 85% dengan gred A itu adalah merupakan markah terendah di dalam kelas tersebut? Bagaimana pula jika soalan yang diberikan pula adalah terlalu mudah? Bagaimana pula sekiranya markah 56% itu adalah markah tertinggi di dalam kelas dan bagaimana pula sekiranya soalan yang diberi adalah sukar belaka? Bolehkah kita katakan markah 85% itu sebagai bagus dan 56% itu sebagai tidak bagus?

Itu antara isu biasa yang berlaku dalam pengukuran pendidikan.

Bagaimana pula dengan pelajar yang mendapat markah yang tinggi dengan hanya meneka sahaja jawapan yang diberi (bagi soalan objektif). Dan bagaimana pula dengan pelajar yang melakukan kecuaian dalam menjawab sedangkan mereka sebenarnya tahu dan memahami akan apa yang telah dipelajari. Wajarkah kita mengatakan mereka berkebolehan dalam sesuatu matapelajaran apabila markah yang diperolehi adalah hasil dari tekaan semata-mata. Wajarkah kita mengatakan mereka tidak berkebolehan dalam sesuatu matapelajaran itu kerana berlaku kecuaian (careless mistake) semasa ujian atau peperiksaan?

Isu-isu yang dibangkitkan hanya sekadar untuk difikirkan.

Penulis hanya ingin memperkenalkan konsep pengukuran moden, sekurang-kurangnya sebagai pengetahuan.

Akan bersambung lagi dengan konsep pengukuran moden.

"If you can't measure it, you can't improve it" ~ Lord Kelvin




No comments: